mutakhir

Dah tinggal kurang 200 ekor..

Oleh BERNAMA

MASA depan Harimau Malaya kini dilihat semakin terumbang-ambing susulan kerakusan pemburu haram yang terus memburu tanpa mengira natijahnya, walaupun sehingga menceroboh ke hutan simpan Belum-Temengor dan berterusan menjejaskan kehidupan hidupan liar lain termasuk sumber makanan harimau.

Menurut Ketua Lanskap Harimau World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Dr Mark Rayan Darmaraj, apa menyedihkan ialah ketika ini populasi harimau dalam negara semakin berkurangan sehingga jumlahnya kini tidak sampai 200 ekor.

Aktiviti pemburu haram didorong permintaan tinggi untuk anggota badan harimau bagi tujuan perubatan tradisional Cina serta kegunaan lain turut menarik kehadiran pemburu asing dari Vietnam, Thailand dan Kemboja selain dalam negara.

Mereka memasang beribu perangkap seperti perangkap berkawat jauh di tengah hutan untuk menangkap harimau dan haiwan liar lain yang ada.

“Pengurangan jumlah haiwan liar dalam hutan seperti rusa dan babi liar yang menjadi sumber makanan harimau sebenarnya bukan sahaja disebabkan kerakusan pemburu haram, tapi penduduk tempatan yang memburu haiwan ini bagi tujuan riadah.

“Ini juga secara tidak langsung boleh dianggap sebagai pemburu haram kerana memberi kesan kepada masa depan harimau,” katanya.

Mark berkata, bergantung kepada berapa besar mangsanya, rusa kecil sebesar kijang (muntjac) boleh menjadi sekadar snek sahaja untuk harimau.

“Jadi , ia perlu memburu lagi dan memerlukan lebih banyak tenaga. Seekor rusa dewasa membolehkan harimau itu berhenti berburu selama 10 hari sebelum kembali mencari makanan.

“Harimau yang menjaga kawasan biasanya akan merayau dalam kawasannya mencari makanan atau pasangan tetapi jika tiada haiwan berkeliaran di kawasan itu, harimau itu tidak dapat hidup lama kerana tiada makanan,” katanya.

Katanya, salah satu usaha dijalankan WWF bagi menyelamatkan harimau adalah mewujudkan pasukan peronda yang turut disertai orang asli di kawasan Belum-Temenggor.

“Pasukan ini akan mengambil giliran meronda, memusnahkan perangkap ditinggalkan pemburu haram dan melapor kembali kepada WWF.

“Kita ada beberapa pasukan yang mengendalikan tinjauan harian, namun jumlah tenaga kerja masih tidak mencukupi,” katanya.

Terdahulu, baru-baru ini pencinta alam menyuarakan keterujaan mereka mengenai berita terbaru berhubung kesediaan pasukan polis membantu renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam menjalankan rondaan di hutan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan bersetuju menghantar dua petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) daripada Batalion Senoi Praaq bagi menjalankan rondaan di kawasan ditetapkan bagi menahan pemburu haram terutama mereka yang memburu Harimau Malaya.

Sejak 2014, pasukan ronda WWF berjaya memindahkan sekitar 1,400 perangkap di samping membebaskan 269 haiwan terperangkap.

Nasib haiwan pemangsa itu mula mendapat perhatian ramai, baru-baru ini, susulan kemunculan seekor harimau di Kampung Besul, Bukit Besi di Dungun, Terengganu pada 18 Julai lalu.

Harimau itu berjaya ditangkap tetapi ia mati tidak lama kemudian dan ujian RT-PCR mengesahkan harimau itu mati akibat diserang virus Canine Distemper.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 8:03pm
d