mutakhir

Suami isteri disiasat edar risalah

Oleh Siraj Mohd Zaini

SUAMI isteri warga emas disoal siasat polis kerana mengedarkan risalah berkaitan agama Kristian di Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam 11 pagi semalam berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua warga emas berusia 70-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan.

“Hasil siasatan mendapati wanita itu penganut agama Kristian tidak mengetahui tindakan mengedarkan risalah agama lain kepada penganut agama Islam adalah salah di sisi undang-undang.

“Bagaimanapun, wanita itu mendakwa risalah itu tidak akan diberikan jika seseorang itu menolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, wanita itu mendakwa pengedaran risalah itu dilakukan bagi mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan yang menyembuhkan penyakit mereka.

Katanya, tindakan dilakukan mereka juga dilakukan atas kapasiti peribadi tanpa dibelakangi mana-mana pihak.

“Mereka berdua beri kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan dan dinasihati tidak mengulangi tindakan sama.

“Pihak polis tidak membuat tangkapan seperti mana yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp terhadap kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 9:25pm
d