mutakhir

Utamakan parti dulu - Dr Wan Azizah

Oleh Siraj Mohd Zaini

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali serta pimpinan PKR diminta mencontohi Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi keutamaan kepada parti meskipun sudah 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peringatan itu diberikan sebagai rujukan semua ahli termasuk dirinya agar sentiasa mengutamakan parti.

“Kalau kita lihat sebagai satu rujukan dan ambil contoh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir).

“Beliau yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri pun masih lagi memberi ruang untuk hal parti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI) di Shah Alam hari ini.

Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR yang tidak menghadirkan diri pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung di ibu pejabat parti, Ahad lalu.

Mohamed Azmin serta beberapa pemimpin kanan parti termasuk Amirudin Shari, Zuraida Kamaruddin dan Haniza Talha didapati tidak hadir pada mesyuarat berkenaan.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menyatakan dirinya terbabit dengan program kementerian manakala Amirudin pula terperangkap dalam kesesakan lalu lintas pada hari itu.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, parti itu sudah melalui pelbagai masalah sebelum ini terutamanya ketika Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

“Kita pernah digelar parti nyamuk dan sekarang kita sudah berkembang.

“Mungkin ada pelbagai cabaran datang dan ia akan menjadikan parti ini lebih kuat,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 10:57pm
d