mutakhir

Syarikat sedia bas tambahan [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

MENJELANG sambutan Aidiladha yang dijangka disambut 11 Ogos ini, tiket perjalanan ke beberapa destinasi ada yang habis terjual, ada juga belum mendapat sambutan, namun syarikat bas ekspres mengambil inisiatif awal menyediakan bas tambahan.

Tinjauan Harian Metro di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati, tidak ramai yang mengambil kesempatan cuti umum untuk membeli tiket bagi menyambut perayaan itu.

Pengurus Syarikat KKKL Group (Kuala Lumpur), Farit Qayyum Daud berkata, syarikat itu mula menjual tiket bagi perayaan Aidiladha sejak minggu lalu bagi perjalanan ke selatan dan utara tanah air.

“Tiket untuk musim hari raya haji belum habis terjual, namun kami ada menyediakan bas tambahan dan lesen perubahan sementara diperoleh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sebanyak 30 bas tambahan membabitkan laluan ke Johor Bahru disediakan,” katanya, ketika ditemui di pejabat urusan KKKL di TBS, semalam.

Menurutnya, syarikat terbabit menguruskan 72 perjalanan sehari membabitkan bas ke Ipoh, Butterworth, Pulau Pinang, Alor Setar, Changlun, Bukit Kayu Hitam, Danok dan Hatyai di Thailand bagi perjalanan ke utara, manakala ke selatan, seperti Melaka, Kluang, Segamat, Batu Pahat, Johor Bahru, Katong dan Singapura.

Katanya, pada kebiasaan, syarikat terbabit menguruskan perjalanan 280 penumpang namun untuk musim perayaan seperti hari raya Aidiladha, mereka menjangkakan 600 penumpang menggunakan perkhidmatan bas terbabit sehari.

“Kebiasaannya, pelanggan membeli tiket menerusi dalam talian namun untuk bas tambahan, mereka akan membelinya di kaunter jualan, namun saya ingin beritahu kepada penumpang ke selatan, jangan bimbang kerana bas banyak,” katanya lagi.

Sementara itu, bagi orang awam yang ditemui, mereka tidak tergesa-gesa membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halaman.

Mohamad Azuwan Musafa, 28, berkata, dia akan menyambut Aidiladha di Kota Bharu, belum membeli tiket bas.

“Saya akan pulang ke kampung pada Khamis (8 Ogos), saya mungkin beli tiket minggu hadapan,” katanya, yang juga seorang anggota polis bertugas di Nilai, ditemui di TBS.

Sementara pelajar yang berasal dari Taiping, Perak, Nurul Shahirah Mohd Radzi, 20, berkata, dia hanya membeli tiket pulang ke kampung halaman minggu ini menggunakan perkhidmatan dalam talian.

“Saya menuntut di Uniten Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Pahang, jadi saya akan beli tiket atas talian minggu ini, tak boleh tunggu minggu hadapan kerana bimbang tiket habis awal,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 5:00am
d