mutakhir

Tiada sebab munasabah

Oleh Amir Abd Hamid

DEWAN Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) meminta kerajaan meletakkan vape bernikotin sahaja di bawah akta rokok dalam rangka undang-undang baharu memperkemaskan Akta Kawalan Tembakau termasuk membabitkan penggunaan bahan berkaitan nikotin.

Presidennya Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, ini kerana tiada sebab munasabah untuk mengklasifikasikan vape atau rokok elektronik secara am atau keseluruhannya di bawah akta rokok.

Beliau berkata, sekiranya vape diletakkan di bawah akta rokok ia akan mempengaruhi kesan terhadap industri vape termasuk kerugian ratusan juta ringgit dari segi pungutan hasil cukai selain menyekat peluang pekerjaan terutama anak Melayu yang terbabit dalam industri itu.

“Pihak DPVM memohon kerajaan supaya meletakkan vape bernikotin saja di bawah akta rokok. Jika keseluruhannya diletakkan akta sama ia umpama meletakkan roller blade atau skateboard di bawah Akta Pengangkutan Jalan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun memang wujud skateboard bermotor.

“DPVM masih menunggu garis panduan terperinci yang bakal dibentangkan. Apa pun secara keseluruhannya, DPVM terus mengambil langkah progresif bersama persatuan vape negeri untuk memastikan pembentukannya menjadi industri berdaya saing dan mapan.

“Sekiranya cadangan Jawatankuasa Khas berjaya dibentuk bersama dewan dan dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan, ia akan mempunyai potensi untuk memperluaskan kawalselia terutama dalam keadaan penjualan device (peranti) dan liquid (cecair) di peringkat bawah umur serta had-had nikotin, di mana kita sedar hari ini perkara nikotin selalu dijadikan isu,” katanya.

Media kelmarin melaporkan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka undang-undang baharu bagi memperkemaskan Akta Kawalan Tembakau termasuk membabitkan penggunaan bahan berkaitan nikotin.

Draf berkenaan kini sedang diperhalusi oleh pegawai undang-undang kementerian berkenaan sebelum dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

Dzulkefly dilaporkan ia juga merangkumi kawalan penggunaan produk tembakau, termasuk rokok elektronik dan vape.

“Perkara ini sudah kita bincangkan dengan task force kementerian serta pihak-pihak berkaitan yang melihat perlu perkara membabitkan penggunaan vape, rokok elektronik dan sisha diberi perhatian.

“Kita perlu pada satu bentuk penguatkuasaan bersama terutamanya produk ini yang boleh didapati dengan mudah termasuk golongan pelajar,” katanya.

Dzulkefly dilaporkan berkata, sebelum ini penjualan rokok elektronik yang mengandungi nikotin tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

“Ketika ini lesen penjualan rokok elektronik di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) manakala kandungan nikotin dalam rokok terbabit pula di bawah pihak kita.

“Justeru kita perlu satu undang-undang baharu yang lengkap agar perkara berkaitan kawalan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan mudah,” katanya.

Terdahulu dalam laporan eksklusif muka depan Harian Metro bertajuk Vape ‘Tembus’ Sekolah siaran 20 Julai lalu menyiarkan fenomena vape dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.

Menghisap rokok elektronik dianggap kegilaan baharu kanak-kanak dan remaja berkenaan apabila rampasan dilakukan guru mendapati saiz vape yang kecil dalam pelbagai bentuk membolehkannya mudah diseludup masuk ke sekolah.

Tinjauan Harian Metro sebelum ini di Kuala Lumpur dan Johor mendapati gejala tidak sihat itu sudah mencapai tahap membimbangkan apabila ada murid dan pelajar kini ketagih.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 5:30am
d