mutakhir

Tak bagi ruang

Oleh Syaherah Mustafa

POLIS Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang kemasukan bekalan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Asisten Komisioner Mit Emong berkata, pelbagai pendekatan dilakukan termasuk mengadakan operasi di kawasan berkenaan.

“Pihak kami memandang serius isu penyeludupan dadah yang banyak merosakkan masyarakat khususnya anak muda pada hari ini.

“Bagi memastikan kawalan di sempadan terus berada dalam keadaan terbaik, pihak kami juga menjalinkan hubungan baik dengan agensi keselamatan lain yang bertugas di sepanjang sempadan.

“Kita akan sentiasa berusaha dan sedaya upaya memastikan tiada bekalan dadah bolos ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam operasi dadah peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dekat di sini, semalam.

Operasi terbabit dilakukan JSJN IPK Kelantan bagi mengatasi masalah penyeludupan dan pengedaran dadah terutama dari negara jiran.

Mit berkata, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat bagi sama-sama membanteras pengedaran dadah dengan lebih berkesan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang banyak membantu pihak polis dalam memberi maklumat atau info berkaitan dadah di tempat mereka.

“Malah peningkatan rampasan dadah oleh pihak kami juga menunjukkan satu pencapaian baik dan pihak kami akan terus berusaha membanteras musuh nombor satu negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 6:00am
d