mutakhir

Atas bumbung pun jadi...

Oleh Zaid Salim

BERSEMBUNYI di sebalik kepingan papan di bahagian bumbung rumah yang dalam proses pembinaan bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

Tindakan itu dilakukan oleh seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menyerbu sebuah kawasan pembinaan di Kerteh, di sini, kelmarin.

Meskipun tindakannya hampir berjaya meloloskan diri, lelaki berusia 30-an terbabit terpaksa akur apabila cubaannya sanggup berbaring bawah terik matahari dihidu pegawai jabatan itu.

Itu antara aksi spontan pekerja asing yang panik sebaik menyedari kawasan tempat kerja mereka diserbu JIM Terengganu menerusi Op Sapu, Belanja dan Mahir.

Ketua Timbalan Penolong Pengarah (KTPP) yang juga Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, serbuan dilakukan menerusi Op Sapu, Belanja dan Mahir yang dilaksanakan di dua daerah membabitkan Dungun dan Kemaman, bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, kelmarin.

Katanya, pemeriksaan di 10 lokasi sekitar dua daerah itu membabitkan kawasan projek pembinaan bangunan dan banglo, kilang pembuatan makanan dan premis perkhidmatan awam.

“Menerusi operasi itu, kami memeriksa 120 pekerja asing dan berjaya menahan seramai 65 Pati termasuk dua wanita membabitkan 29 warga Bangladesh, Indonesia (26), Myanmar (lapan) dan Pakistan (dua).

“Selain itu, kami turut menahan empat warga tempatan yang disyaki majikan kepada Pati terbabit untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek berusia 20 hingga 50 tahun dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 7:00am
d