mutakhir

Mana hang mahu lari?

Oleh Hamzah Osman

CUBAAN lelaki dipercayai ‘tokan’ dadah melarikan diri ketika Ops Bersepadu ‘Ice Breaker’ di Taman Nilam, Langkawi, gagal apabila suspek ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu dan heroin, semalam.

Dalam operasi 12.10 tengah malam itu, suspek berusia 20 tahun cuba meloloskan diri selepas pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Kuah menyerbu sebuah rumah di taman perumahan berkenaan dipercayai menjadi markas pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika pemeriksaan, suspek yang juga seorang penganggur bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek ditahan sebelum hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah itu menemui dua paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 90 gram (g).

“Turut dirampas, sembilan paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin seberat 45 g, selain alat penimbang elektronik dan wang tunai RM130,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan fizikal suspek turut menemui kesan luka di betis dan lutut kaki kiri, bagaimanapun diakui oleh suspek kecederaan itu disebabkan kemalangan.

“Siasatan awal pula mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pada 2015.

“Suspek juga pernah ditahan bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) pada 2017,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 9:29am
d