mutakhir

Buat malu keluarga

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PELAJAR perempuan dicekup berkhalwat dengan pasangannya di sebuah hotel bajet di Jalan Shahab Perdana, Mergong, Alor Setar, hari ini.

Ketika ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) jam 1.55 pagi itu, pelajar itu didapati memakai seluar jeans tanpa baju manakala pasangannya pula memakai tuala dan berkemeja T.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, hasil siasatan mendapati, pelajar berusia 19 tahun itu belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Jitra manakala pasangannya yang berusia 22 tahun pula bekerja di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini.

Beliau berkata, mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kota Setar untuk diambil keterangan.

“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan keluarga sebelum menunggu perbicaraan kes di mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 2:07pm
d