mutakhir

Boy 'tapau' semua

Oleh Ahmad Ismail

“HARI ini saya ‘borong’ semua akhbar,” kata Boy @ Hisham Hashim, 39, yang teruja mengumpulkan semua keratan akhbar membabitkan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, semalam.

Boy yang juga pembantu peniaga di pasar awam di Segamat berkata, dia bangun seawal 5 pagi untuk mendapatkan semua akhbar, tidak kira bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina yang membuat laporan khas pertabalan baginda.

Dia mengakui, tindakannya itu turut membuatkan penjual akhbar berbangsa Tionghua kehairanan melihatnya membeli setiap satu surat khabar yang membuat laporan berkenaan.

“Penjual akhbar berbangsa Cina di bandar ini turut hairan dengan saya kerana tiba seawal 5 pagi bagi mendapatkan semua akhbar harian edisi berbahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina.

“Biasanya saya melanggan akhbar Harian Metro dan Berita Harian setiap hari dan ia berlaku sejak puluhan tahun lalu, namun hari ini saya ‘tapau’ semua bahasa asalkan ada cetakan gambar berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan (YDP) Agong,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Bendahara Lubok Batu di Segamat, hari ini.

Menurut Boy, dia berbelanja lebih bagi membeli semua akhbar pelbagai bahasa itu, namun berpuas hati dapat mengumpulkan gambar sempena pertabalan itu.

“Saya amat teruja kerana berhasil mengumpulkan sebanyak 80 keping gambar bersejarah bagi tempoh lima tahun sekali itu dan akan diabadikan di dalam album gambar.

“Gambar yang dirakam dari pelbagai sudut oleh jurugambar profesional pelbagai syarikat akhbar itu amat menarik, terutama ketika YDP Agong dan Permaisuri melakukan pelbagai pergerakan pada majlis istiadat di luar dan dalam Balairung Seri Istana Negara,” katanya.

Boy berkata, gambar kehadiran diplomat asing dan pasangan Raja-Raja Melayu serta jemputan pembesar negara turut menandakan ia majlis unik yang turut dinantikan rakyat jelata.

“Gambar pertabalan itu tentunya bernilai tinggi daripada sudut sejarah pada masa hadapan dan tidak mahu ‘kempunan’ menyimpannya bagi tatapan generasi akan datang, walaupun boleh diperoleh melalui alam maya, namun tidak sama.

“Pertabalan itu turut mengimbau Almarhum Paduka Ayahandanya, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7,” katanya.

Katanya, tambah teruja apabila Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah Kerabat Diraja Johor.

“Pelbagai gambar peralatan antaranya nafiri, gendang dan paluan nobat jarang dilihat menambahkan lagi keunikan gambar pada upacara itu.

“Semalam sambil melihat upacara istiadat pertabalan secara langsung di kaca televisyen, saya turut memakai tanjak berbaju Melayu yang dihadiahkan rakan dalam satu majlis kebudayaan tahun lalu.

“Saya turut membeli pelbagai versi setem keluaran khas sempena majlis pertabalan itu di Pejabat Pos Malaysia di Segamat,” katanya.

Sementara itu penjual akhbar di bandar Segamat, Chin Low Ping, 56, berkata, terdapat peningkatan jualan akhbar berbanding selalu.

“Berita besar dan gambar menarik istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang dipilih sebagai tajuk utama akhbar antara faktor peningkatan jualan akhbar harian,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 3:11pm
d