mutakhir

Semua itu palsu!

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan penyebaran mesej tular sejak semalam mendakwa terdapat lebih 70 pembawa penyakit tibi positif di tiga kawasan sekitar daerah ini.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, mesej dikongsikan di laman sembang WhatsApp dan laman sosial Facebook (FB) itu adalah palsu.

“Berita ini palsu. Tidak benar,” jawabnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Harian Metro, hari ini.

Berdasarkan mesej tular, orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan pergerakan ke kawasan dimaksudkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Malah, mesej itu mendakwa berita berkenaan sudah disahkan benar oleh individu yang bertugas di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Info untuk kawan-kawan. Buat masa ini Kampung Melayu, Majidee dan Pandan ada lebih 70 orang pembawa tibi positif.

“Dinasihatkan untuk kurangkan ke kawasan ini untuk mengurangkan risiko jangkitan. Penyebaran boleh melalui udara.

“Ok, dah dapat info dari sepupu yang kerja di HSA. Katanya betul. Jadi, kurangkan makan di kawasan sana ya kawan-kawan,” dakwa mesej berkenaan.

Pada masa sama, Dr Selahuddeen mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita yang tidak sahih kerana sekali gus mencemaskan masyarakat.

“Jangan sebar berita tidak benar. Berita palsu boleh mencemaskan masyarakat. Orang ramai diingatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber sahih iaitu JKNJ,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 11:34pm
d