mutakhir

Karnival Rahmah menyatukan ummah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

JABATAN Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Karnival Rahmah, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk mengukuhkan lagi silaturahim di antara rakyat berbilang kaum dan agama, September ini.

Selain itu, ia juga bertujuan menyebarkan kefahaman agama Islam adalah agama harmoni dan menghormati semua.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Karnival Rahmah 2019, Mohd Ajib Ismail berkata, ia akan dianjurkan di tiga lokasi iaitu di Putrajaya, Kelantan dan Pulau Pinang dengan acara pertama diadakan di Dataran Putrajaya bermula dari 26 September hingga 29 September dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Katanya, karnival berkenaan beraspirasi menjadi salah satu acara terbesar di Malaysia dan sasaran utama pengunjung adalah mereka yang berkeluarga dan generasi muda.

“Konsepnya adalah berlandaskan ‘edutainment’ yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan untuk semua dan pengisian karnival akan terbahagi kepada enam kluster berasaskan teras RAHMAH iaitu Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat.

“Berbagai program dan aktiviti yang sesuai untuk seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat sudah disusun untuk karnival ini. Di antara program dirancang ialah Mini Karnival Kanak-Kanak, Perumahan, Kota Buku, Pertanian dan Masjid, Festival Buku, pelbagai pameran, gerai jualan, konsert, ceramah, busking dan demonstrasi memasak.

“Logo rasmi Karnival Rahmah akan dilancarkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang juga permulaan kempen pengiklanan dan promosi di semua media utama dan media digital,” katanya.

“Orang ramai digalakkan untuk menggunakan hashtag (#) KARNIVALRAHMAH2019 dan mengunjungi akaun media sosial Official Karnival Rahmah untuk mendapatkan maklumat dan berita terkini tentang Karnival Rahmah,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 12:07am
d