mutakhir

Dalang Macau Scam masuk perangkap [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEORANG lelaki warga Taiwan yang juga dalang kepada beberapa kumpulan sindiket Macau Scam yang aktif di negeri ini ditahan polis pada 17 Julai lalu.

Ia susulan laporan polis dibuat seorang doktor di Sungai Buloh yang kerugian RM270,000 selepas ditipu sindiket didalangi lelaki warga asing berusia 26 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 24 hingga 32 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

“Lelaki Taiwan itu ditahan di Kuala Lumpur manakala tiga lelaki tempatan itu ditahan di Subang Jaya selepas polis menerima laporan daripada mangsa di Sungai Buloh.

“Hasil siasatan mendapati tiga suspek bertindak merekrut penama akaun bank atau ‘keldai akaun’ bagi menerima wang daripada mangsa.

“Semua ‘keldai akaun’ ini akan menerima upah RM200 hingga RM400 daripada sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, semalam.
Fazlisyam berkata, pihaknya turut merampas beberapa kad pengeluaran wang automatik (ATM), telefon bimbit dan komputer riba dipercayai bagi kegunaan sindiket terbabit.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dalang berkenaan datang ke negara ini sebulan sekali bagi mengambil kad serta butiran ‘keldai akaun’ daripada tiga suspek itu.

“Semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fazlisyam berkata, JSJK Selangor sudah mengenal pasti 75 ‘keldai akaun’ yang menggunakan akaun bank mereka untuk tujuan penipuan dan 34 daripadanya sudah dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 187 penipuan atas talian membabitkan kerugian lebih RM15 juta berlaku di negeri ini.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 12:22am
d