mutakhir

Melecur bakar sampah

Oleh Adnan Ibrahim

“SAYA bernasib baik kerana sempat menghadang api yang sedang menjulang marak menggunakan kedua-dua belah tangan. Jika tidak mungkin kesan lecur dialami lebih parah,” kata Rosmiyati Jumari, 50.

Dia berkongsi detik cemas apabila cedera di muka dan dua tangannya selepas disambar api dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Andak di sini, pada jam 3 petang pada 15 Julai lalu.

Akibat kejadian itu, Rosmiyati yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sekolah itu diberikan cuti selama 21 hari sehingga 4 Ogos ini.

Menurut Rosmiyati, kemalangan berlaku ketika dia berada berhampiran lokasi pembakaran sampah di belakang sekolah itu.

“Saya dan seorang rakan sekerja tidak menyangka terdapat objek dipercayai tin penyembur cat berada di dalam longgokan sampah itu.

“Tiba-tiba api menjulang naik dan menyambar bahagian muka. Namun saya bernasib baik sempat menghadangnya menggunakan kedua-dua belah tangan.

“Akibatnya, bahagian belakang tubuh saya melecur teruk, manakala sebahagian muka turut terkena api sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Simpang Renggam,” katanya yang menerima lawatan Ketua Serikandi PKR Negeri Johor, Nur Khurul Ain Abdul Samat di kediamannya di Kampung Parit Ghani di sini semalam.

Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila tiada pihak yang tampil untuk membantunya melakukan urusan tuntutan bantuan daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Untuk menguruskan sendiri memang saya tidak terdaya apatah lagi suami, S Kandar Ahmad, 52, hilang daya penglihatan kerana menghidap penyakit kencing manis, manakala anak-anak terpaksa bekerja untuk mencari pendapatan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Nur Khurul Ain berkata, pihaknya akan membantu wanita ini mendapatkan pembelaan sewajarnya selepas kemalangan yang berlaku ini.

“Insya-Allah pihak kami akan membawa wakil Perkeso untuk menguruskan tuntutan faedah sekiranya mempunyai caruman sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 5:00am
d