mutakhir

Disimbah asid

Oleh Muhammad Apendy Issahak

POLIS menerima empat laporan membabitkan kes perbuatan khianat terhadap empat kenderaan yang disimbah cecair dipercayai asid dengan kes terbaru dilaporkan, kelmarin.

Ketua Polis daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian terbaru dilaporkan jam 7.50 malam kelmarin membabitkan kereta BMW 320 milik seorang lelaki berusia 48 tahun.

Menurutnya, peniaga berkenaan mendakwa ada kesan kerosakan disyaki akibat disimbah asid pada pintu belakang dan bumbung kereta miliknya itu.

Beliau berkata, ketika kejadian kereta berkenaan diletakkan di belakang kedai cuci kereta bersebelahan dengan sebuah restoran di Taman Pasir Puteh.

“Peniaga terbabit tidak tahu siapa yang melakukannya, dia mendakwa tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak mengesyaki mana-mana pihak.

“Hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian tiada kamera litar tertutup (CCTV) atau mana-mana saksi,” katanya.

Mohd Ali berkata, pemeriksaan juga mendapati kereta mangsa mengalami hakisan cat pada pintu kiri bahagian belakang dan anggaran kerugian tidak dapat dipastikan.

“Setakat ini kami menerima empat laporan mengenai kes dipercayai perbuatan khianat itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 6:30am
d