mutakhir

Penutup pili bomba pun kau rembat?

Oleh Mohd Roji Kawi

DUA beradik lelaki ditahan polis selepas tujuh jam mereka mencuri peralatan pili bomba di Taman Desa Wira, Batu Kawa, Padawan, semalam.

Ia selepas perbuatan suspek berusia 18 dan 24 tahun membawa hasil curi dengan menaiki motosikal dirakam oleh orang awam pada jam 9.45 pagi.

Ia kemudian tular sebelum dimaklumkan bomba kepada polis.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, bertindak atas maklumat itu, suspek ditahan di sebuah rumah Kampung Segedup, Batu Kawa, pada 4.30 petang.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu pemilik kedai besi buruk yang membeli penutup pili bomba yang dicuri dua beradik terbabit.

“Kedua-dua suspek mengaku mencuri dan menjual penutup ‘chamber’ dan ‘pillar’ pili Bomba di sebuah kedai besi buruk di Jalan Kong Ping, Batu Kawa dengan harga RM25.80.

“Mereka juga mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, polis turut merampas sebuah jenis Modenas Kriss, dua helmet, satu tukul besi, serta dua baju yang dipercayai digunakan dua suspek ketika mencuri peralatan bomba itu.

“Kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, sebanyak 4,928 pili bomba rosak akibat perbuatan vandalisme dan kecurian di seluruh Sarawak dalam tempoh Januari hingga 31 Julai, tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tindakan vandalisme itu menyebabkan 625 batu tanda pili bomba dan tiang pili bomba patah.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 9:41am
d