mutakhir

Pencarian sehingga 10 batu nautika

Oleh Rosli Ilham

PENCARIAN tiga pekerja resort yang hilang di perairan Pulau Tenggol, Dungun diperluas ke 10 batu nautika.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu dimulakan 7.30 pagi hari ini membabitkan kekuatan 100 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kakitangan resort berkenaan.

“Kita turut mendapat bantuan dua kapal dari APMM iaitu KM Pekan dan BM Kilat, dua bot ronda polis Marin serta empat bot daripada pengusaha resort terbabit,” katanya.

“Pasukan polis dan JBPM pula digerakkan bagi melakukan pencarian di sekitar pesisir pantai termasuk muara Kuala Dungun sehingga ke Pantai Sura Hujung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bantuan unit udara akan digunakan dalam operasi pencarian itu.

Katanya, setakat ini tiada petunjuk yang ditemui pasukan pencarian.

“Kita tidak menolak kemungkinan bot mereka karam dipukul ombak disebabkan laut bergelora,” katanya.

Semalam, Portal Harian Metro melaporkan bot pelancong dinaiki dua pemandu bot termasuk seorang pekerja resort tidak sampai ke resort di Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12 tengahari.

Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort terbabit.

Berita berkaitan

Tiga lelaki tak sampai-sampai...

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 10:59am
d