mutakhir

Mana boleh bawa masuk tanpa dokumen

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SUAMI isteri warganegara China ditahan di Lapangan Terbang Senai, Kulai kerana cuba membawa masuk 10 kilogram (kg) ayam salai tanpa kebenaran sah.

Pengarah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) Negeri Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pasangan itu gagal menunjukkan dokumentasi diperlukan untuk membawa masuk produk haiwan itu ketika tiba di balai ketibaan lapangan terbang, Khamis lalu.

Katanya, susulan itu pihaknya merampas produk berkenaan kerana menyalahi Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Produk itu dirampas kerana tiada Permit Import (IP) yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS, sijil kesihatan dan sijil halal daripada negara asal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasangan berusia 40-an itu yang dilepaskan selepas siasatan memberi alasan tidak mengetahui larangan membawa produk itu, selain mendakwa ia sebagai buah tangan dari Guangzhou, China untuk rakannya.

“Bahkan ayam salai itu dibungkus dengan baik dan rapi ke dalam plastik khas kerana mahu dijadikan cenderahati,” katanya.

Katanya, sabit kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11(3) akta sama, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, hasil laut dan berkaitan yang masuk mahupun keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 11:38am
d