mutakhir

Itu pendapat peribadi Azmin - PM

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sokongan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu beliau memimpin negara hingga ke akhir penggal adalah sebagai pendapat peribadi.

Perdana Menteri berkata, beliau menegaskan akan tetap menyerahkan jawatan kepada penggantinya apabila tiba masa yang sesuai.

“Itu dia (Mohamed Azmin) pendapat, tetapi saya sudah buat perjanjian yang saya akan letak jawatan apabila situasi dalam negara sudah stabil.

“Ia mungkin dua tahun atau tiga tahun. Saya tidak tahu tapi kami sedang bergerak ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa anjuran Talent Corp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan dikeluarkan Mohamed Azmin yang menyokong supaya Dr Mahathir diberi peluang memimpin negara hingga akhir penggal bagi menjamin kestabilan dan kesinambungan dasar kerajaan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengesahkan ada bertemu pemimpin daripada parti pembangkang termasuk UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak beberapa hari lalu.

“Mesyuarat itu memang ada. Mereka datang jumpa saya, jadi saya jumpalah mereka.

“Mereka datang dari pelbagai parti dan kebanyakannya menyatakan sokongan kepada saya. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Ditanya sama ada konflik dalam PKR perlu diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata, itu masalah dalam parti itu.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 12:55pm
d