mutakhir

Pengurus ditipu 'rakan'

Oleh Shamsul Munir Safini

PENGURUS syarikat kerugian RM24,700 selepas terpedaya dengan panggilan telefon sindiket yang menyamar kenalannya semalam.

Difahamkan, mangsa yang berusia 40 tahun sebelum itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai rakan perniagaannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa pada mulanya pelik kerana suspek yang menyamar rakannya itu menggunakan nombor telefon lain bukan seperti dalam simpanannya.

Katanya, namun suspek yang bijak memperdaya mangsa mendakwa nombor lamanya sudah dicuri sebelum terpaksa menggunakan nombor baru.

“Suspek kemudian meminta bantuan meminjam sejumlah wang kerana menghadapi masalah perniagaan.

“Percaya dengan kawannya mangsa membuat lima transaksi pindahan wang berjumlah RM24,700,” katanya.

Noorzainy berkata, wang itu kemudian dipindahkan ke akaun bank milik lelaki yang menyamar sebagai rakan perniagaannya seperti diarahkan.

Beliau berkata, mangsa hanya sedar ditipu selepas menghubungi nombor telefon pejabat rakannya kerana mahu wang yang dipinjamkan dipulangkan seperti dijanjikan.

Menurutnya, yakin dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan, mangsa kemudian membuat laporan polis.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 2:23pm
d