mutakhir

Drawbridge boleh, Skybridge belum lagi [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin

ORANG ramai dibenarkan melalui dan melawati jambatan angkat atau Drawbridge yang dibuka sepenuhnya hari ini.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan memasuki empat menara untuk ke dua ‘Skybridge’ yang mengandungi galeri dan restoran kerana masih dalam proses pengubahsuaian.

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud iaitu anak syarikat kerajaan negeri yang menguruskan jambatan terbabit.

Menurut Khalizan, proses penambahbaikan terhadap jambatan terbabit sudah hampir siap sepenuhnya dan hanya tinggal beberapa perkara kecil saja yang perlu dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kenderaan sudah dibenarkan melalui jambatan ini dan orang awam juga dibenarkan bersiar-siar serta berjoging di laluan pejalan kaki.

“Cuma mereka tidak dibenarkan parkir kenderaan di jambatan ini dan tidak benarkan memasuki galeri serta restoran kerana masih dalam proses ubahsuai.

“Kita jangka restoran dan galeri terbabit mungkin dalam masa satu atau dua bulan lagi siap,” katanya ditemui selepas meninjau proses pembukaan sepenuhnya jambatan angkat itu kepada orang awam hari ini.

Menurut Khalizan, sehingga semalam pihaknya masih menjalankan pengujian terhadap jambatan itu bagi memastikan ia selamat digunakan.

“Kami dapati (jambatan angkat itu) tiada masalah untuk dibuka.

“Orang ramai juga tidak perlu risau kerana jambatan ini menggunakan sistem hidraulik paling canggih yang dapat membuka dan menutup jambatan dengan cepat dan selamat.

“Kita turut menempatkan 38 petugas yang mentadbir dan menyelenggara jambatan ini termasuk pengawal keselamatan dan pegawai yang akan memberikan informasi kepada orang awam,” katanya.

Mengenai waktu jambatan itu diangkat dan diturunkan, Khalizan memaklumkan buat masa ini pihaknya tidak mempunyai jadual tetap untuk menentukan waktu bagi proses terbabit.

Katanya, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan Jabatan Laut untuk menentukan waktu sesuai untuk jambatan terbabit diangkat bagi membuka laluan kepada bot atau kapal.

“Jadual akan disediakan setiap bulan supaya orang ramai dapat melihat proses itu dilakukan.

“Kita tidak boleh membuka jambatan ini sesuka hati kerana boleh mengganggu laluan trafik.

“Tapi mengikut perancangan kita mungkin akan angkat jambatan ini mungkin dua atau tiga kali seminggu dan jika ada kecemasan atau keperluan pihak awam boleh menghubungi kami untuk mengangkat jambatan ini,” katanya.

Mengulas mengenai galeri dan restoran yang berada di dua Skybridge yang bakal dibuka, Khalizan berkata, pihaknya sudah menerima beberapa permohonan daripada syarikat yang berminat untuk beroperasi di restoran terbabit dan buat masa ini masih belum diputuskan.

Katanya, restoran itu juga tidak dibenarkan memasak di dalam premis berkenaan kerana tidak mendapat kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atas faktor keselamatan.

“Jadi pihak restoran akan masak di tempat lain dan bawa ke sini apabila beroperasi nanti.

“Bagi galeri pula, kita ada banyak aktiviti sebenarnya untuk kanak-kanak dan dewasa.

“Kita ada tema tertentu yang akan tukar setiap satu atau dua bulan dengan mengadakan pameran operasi jambatan, teknologi, sejarah Terengganu dan sebagainya.

“Pengunjung juga dijangka dikenakan bayaran bagi memasuki menara kerana terdapat kos bagi penyelenggaraan jambatan ini, tetapi harganya minimum berbanding menara yang ada di negara ini,” katanya.

Menurutnya, untuk enam bulan pertama orang ramai akan diberi potongan harga.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 2:43pm
d