mutakhir

Pengutip hutang didenda RM10,000

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PENGUTIP hutang didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan hari ini, selepas mengaku bersalah mengganggu seorang guru dengan cara membuat panggilan dan menampal poster di luar kawasan sekolah pada bulan lalu.

Tertuduh, Neo Soon Hwai, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Soon Hwai didakwa mengganggu guru berusia 39 tahun dengan membuat panggilan telefon dan menampal gambar poster peminjam di tiang hentian bas dan pondok telefon di luar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Wira di Jalan Panching pada 5.45 petang, 19 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29B (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 serta tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan pada 4.21 petang Jumaat lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas didapati mengganggu mangsa yang sebelum ini pernah membuat pinjaman berjumlah RM10,000 pada Disember 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, manakala tertuduh diwakili Nurul Syafiqa Syeba Atan.

Dalam rayuannya tertuduh minta hukumannya terhadapnya diringankan kerana hanya bekerja sebagai penghantar surat khabar dengan pendapatan RM900 sebulan selain perlu menyara isteri dan seorang anak.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan boleh dipenjara 10 bulan jika tidak membayar denda terbabit.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 2:49pm
d