mutakhir

Ada pemain badminton negara 'tahi judi'?

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung dakwaan dua pemain badminton negara dilaporkan berdepan masalah hutang serius dengan ‘ah long’ kerana terbabit dengan judi bola sepak.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak boleh membuat ulasan lanjut berhubung isu berkenaan selagi tidak memperoleh maklumat lengkap daripada BAM.

“Kalau perkara ini haram, tidak dibenarkan dan melanggar peraturan termaktub dalam BAM, jadi ia satu isu serius yang perlu dikendalikan dengan sebaik mungkin (oleh pihak berkenaan),” katanya di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Sebuah laman web sukan tempatan, hari ini, mendedahkan dua pemain dipercayai gagal melunaskan hutang dengan lintah darah yang dikatakan mencecah sehingga ratusan ribu ringgit kerana terbabit judi bola sepak.

Susulan kes berkenaan, BAM dilaporkan memanggil kedua-dua pemain berkenaan yang tidak dinyatakan namanya untuk memberi keterangan lanjut kepada badan induk itu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq percaya penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Badminton diharap dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama antara BAM dengan kelab swasta di negara ini dalam melahirkan lebih ramai pemain baharu berbakat di negara ini.

Beliau pada masa sama yakin jawatankuasa berkenaan dapat mencari penyelesaian terbaik dalam mengembalikan semula kegemilangan sukan badminton negara ini.

Jawatankuasa itu ditubuhkan hasil sesi ‘townhall’ KBS bersama BAM di Akademi Badminton Malaysia pada 14 Mac lalu.

Terdahulu, Syed Saddiq melancarkan perlumbaan ‘The Great Malaysia Marathon’ yang dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober depan di Persiaran Flora, Putrajaya dengan sasaran penyertaan antara 2,000 hingga 3,000 peserta.

Kejohanan julung kalinya diadakan itu mempertandingkan empat kategori iaitu marathon penuh sejauh 42 kilometer (km) dalam had tempoh tujuh jam, separuh marathon (21km) dalam tempoh empat jam serta dua kategori lain iaitu 10km dan 5km.

Seorang peserta bertuah dipilih daripada kejohanan berkenaan bakal membawa pulang Volkswagen Polo 1.6L yang akan diumumkan pada siri terakhir perlumbaan di Kuala Lumpur, tahun depan.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 6:41pm
d