mutakhir

Parah ditetak bekas suami

Oleh Muhamaad Razis Ismail

AKIBAT cemburu, seorang wanita berusia 48 tahun parah selepas ditetak bekas suaminya dengan golok di hadapan sebuah bank di Kuala Krai, 11 pagi hari ini.

Wanita berkenaan yang parah di lengan kiri dan perut dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Manakala suami mangsa berusia 45 tahun turut cedera di jari kanan dan lengan kiri.

Suspek yang juga warga Pakistan berusia 50-an berjaya melarikan diri.

Difahamkan suspek menyerang mangsa kerana cemburu dan dendam selepas mereka bercerai pada hujung tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak, berkata suami mangsa memaklumkan suspek yang menunggang motosikal mengekori mereka yang menaiki kereta Proton Preve.

“Apabila tiba di hadapan sebuah bank, suspek menyerang wanita yang baru keluar dari pintu sebelah kiri kereta dengan golok.

“Suami mangsa cuba membantu isterinya dan berlaku pergelutan sehingga dia cedera di lengan.

“Isterinya cedera di tangan kiri sehingga putus urat tendon selepas ditetak beberapa kali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 7:46pm
d