mutakhir

'Rahsiakan daripada ibu'

Oleh Rosli Ilham

“IBU sangat uzur kami tak mahu dia terkejut dan kami adik-beradik masih merahsiakan perkara ini,” kata Helmi Mohamad, 25, adik kepada Fauzi Mohamad, 40, yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol, Dungun semalam.

Menurutnya, abangnya yang masih bujang itu tinggal bersama ibunya, Jamilah Mohd Sharif, 74, dan kedua-dua beranak itu sangat akrab.

“Abang sangat mengambil berat soal kesihatan ibu dan dialah menjadi tempat ibu mengadu masalah.

“Sebab itu kami sekeluarga terpaksa merahsiakan kehilangan abang kerana tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada ibu,” katanya.

Menurutnya, abangnya itu bekerja sebagai pemandu bot dengan majikannya sudah lama dan kejadian itu pertama kali berlaku terhadapnya.

“Dia bekerja setiap hari dan tidak pulang ke rumah, namun esok (Jumaat) abang sepatutnya bercuti dan dia biasanya menghabiskan cuti bersama ibu.

“Hari ini saya membawa ibu ke rumah kakak buat sementara waktu kerana tidak mahu dia bertanya mengenai abang,” katanya.

Menurutnya, dia percaya bot yang dikendalikan abangnya itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut ke tengah laut.

“Kalaulah bot abang karam, dia akan selamat kerana bot terbabit lengkap dengan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan.

“Jika usaha pencarian abang sehari dua lagi menemui jalan buntu barulah kami akan memaklumkan perkara itu kepada ibu,” katanya.

Helmi berkata, Fauzi sepatutnya bercuti pada hari kejadian tetapi selepas diminta majikannya dia bersetuju untuk bertugas.

“Kali terakhir saya bertemu abang pada pagi kejadian ketika abang bersiap hendak pergi kerja.

“Abang minta saya menjaga ibu dan memaklumkan dia segera pulang sebaik selesai menghantar bekalan makanan di pulau itu.

“Saya berharap abang ditemui selamat. Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya.

Portal Harian Metro melaporkan Fauzi bersama dua rakannya, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, pada 12 tengah hari.

Berita berkaitan

'Doakan anak saya selamat'

Jangan sebar maklumat palsu boh!

'Firasat saya, mereka masih hidup'

Pencarian sehingga 10 batu nautika

Tiga lelaki tak sampai-sampai...

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 8:33pm
d