mutakhir

Kembalikan semula peranan IPG Kota Bharu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TUN Dr Mahathir mahu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu dikembalikan peranannya untuk melatih bukan sahaja guru tempatan sahaja, sebaliknya rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Perjumpaan Bekas Kota Bharu Teachers College (KBTC) Putrajaya 2019, hari ini.

“Ia akan dilakukan secepat mungkin,” katanya ketika ditanya bila perkara itu akan dilakukan.

Katanya, IPG Kota Bharu yang dahulunya dikenali sebagai KBTC adalah antara pusat latihan perguruan tertua di negara ini.

Dr Mahathir berkata, KBTC adalah kolej latihan guru berasal dari England, malah sebahagian besar pensyarah termasuk pengetuanya didatangkan khas dari England.

Menurutnya, KBTC berkait terus dengan pusat latihan guru ternama di England iaitu Brindsford Lodge dan Kirkby.

“Apabila KBTC ditubuhkan di Kota Bharu, ia dikhususkan untuk melatih guru sekolah rendah. Di awal penubuhannya, KBTC turut melatih guru dari Brunei dan Singapura.

“Kini, di bawah pentadbiran kerajaan baharu, KBTC akan dikembalikan peranannya iaitu melatih guru bukan sahaja dari Malaysia tetapi rantau Asia Tenggara,” katanya.

Menurut beliau, kegemilangan KBTC diharap bertambah menyerlah selepas ini.

Terdahulu, Dr Mahathir turut melancarkan Dana Jasamu Dikenang bagi membantu bekas guru KBTC yang menghadapi penyakit kritikal.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 11:13pm
d