mutakhir

Ikan encik tak ada permit...

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mematahkan cubaan seludup lima jenis ikan segar ke Singapura dengan anggaran berat 662.5 kilogram (kg) bernilai RM9,142.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, ia hasil pemeriksaan anggotanya terhadap dua lori bermuatan ikan basah itu di laluan Eksport Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), pada kelmarin dan semalam.

Katanya, siasatan mendapati ikan basah dibawa kedua-dua lori itu tidak mempunyai sebarang dokumen sah seperti Eksport Permit dikeluarkan MAQIS.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima jenis ikan iaitu ikan tongkol seberat 396.35 kg, ikan merah seberat 49.75 kg, ikan kembong seberat 121.3 kg, ikan Tilapia Merah seberat 15.10 kg dan Ikan Sultan seberat 80 kg dengan anggaran nilai keseluruhan RM9,142.75.

“Semua barang segar itu ditahan dan tindakan lanjut akan dikenakan terhadap pengimport,” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, kedua-dua kes itu membabitkan penahanan pada jam 11.30 malam 31 Julai lalu dan semalam.

Katanya, ketika ditahan ikan berkenaan disorokkan di bahagian bawah barangan.

“Mereka memberi alasan lapuk tidak perasan atau terlupa ikan dibawa tidak mendapat pengesahan atau memiliki permit,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], iaitu mengeksport tanpa suatu permit yang sah daripada Jabatan MAQIS.

“Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama iaitu jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, Akta MAQIS diguna pakai untuk mengawal aktiviti import atau eksport keluaran pertanian termasuk ikan atau produk hasilan ikan untuk memastikan segala aktiviti berkenaan mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 9:42am
d