mutakhir

Gangguan air di Kuala Pilah, Jempol

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

BEBERAPA kawasan di Kuala Pilah dan Jempol akan mengalami gangguan bekalan air sementara bermula Selasa ini.

Ketua Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail berkata, gangguan disebabkan kerja penyelenggaraan sistem elektrikal dan sistem pengoperasian di Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Jerai.

Katanya, kerja penyelenggaraan bermula 8 pagi pada 6 Ogos hingga 8 pagi pada 7 Ogos.

“Kawasan yang akan mengalami gangguan di Kuala Pilah ialah Ulu Jempol, Juasseh, Seri Menanti, Ampang Tinggi, Kepis, Johol, Melang dan sebahagian kawasan Ulu Yoh di Tampin.

“Di Jempol membabitkan Kampung Batu Peti, Rumah Rakyat Rompin, Taman Melor Rompin, Kampung Baru Rompin dan sekitar Pekan Rompin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norzita berkata, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas waktu dinyatakan itu.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami tempoh pembaikan yang lebih lama.

“Sebagai langkah kontingensi, SAINS akan melakukan penghantaran air menggunakan lori tangki dan penempatan tangki statik sekiranya gangguan melebihi tempoh 24 jam selepas waktu penutupan kerja pembaikan,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 12:37pm
d