mutakhir

Korporat bantu kurangkan kesesakan di penjara

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KESESAKAN di penjara seluruh negara boleh diatasi menerusi program Latihan Pintar Korporat (CSI) yang mengambil Orang Di Parol (ODP) dan Orang Di Selia (ODS) sebagai pekerja.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu yang diwujudkan tiga tahun lalu menggalakkan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan syarikat korporat untuk menggaji ODP dan ODS bekerja dalam sektor pertanian, pembuatan dan perindustrian.

Katanya, dengan itu kesesakan dapat dikurangkan, memandangkan ketika ini penjara menempatkan 70,000 banduan sedangkan, kapasiti sebenar hanya 50,000 orang.

“Program ini perlu dipertingkatkan lagi, syarikat korporat juga memerlukan tenaga kerja terlatih (untuk menjalankan operasi) dengan dibayar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.

“Kesesakan (di penjara) dapat dikurangkan dan menerusi CSI, bebanan dan tanggungjawab dapat ditanggung bersama kerajaan dan syarikat korporat,” katanya selepas merasmikan Program CSI di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan.

Muhyiddin berkata, sebahagian besar syarikat korporat masih tidak memahami insentif cukai yang ditawarkan kerajaan jika terbabit CSI selain galakan untuk mengambil ODP dan ODS sebagai tenaga kerja terlatih.

Untuk itu katanya, kementerian menyasarkan CSI diperluaskan dan mengurangkan hampir separuh daripada jumlah banduan sedia ada di penjara.

“Apabila jumlah banduan di penjara berkurangan, kos untuk menanggung makanan harian dan keperluan lain secara tidak langsung dapat diturunkan.

“Untuk membina penjara baru memerlukan kos mencecah ratusan juta, namun program ini antara langkah yang dapat membantu mengatasi masalah itu (kesesakan dalam penjara) sementara menunggu peruntukan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, cadangan supaya ODP dan ODS yang menyertai program CSI memakai peranti pemantauan elektronik (EMD) akan diperhalusi kerana membabitkan kos pembelian.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 1:18pm
d