mutakhir

Remaja warga AS ditahan, bukan hilang

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

REMAJA lelaki warga Amerika Syarikat (AS) Will Lucas, 18, yang sebelum ini dikatakan hilang sebenarnya ditahan di lokap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Remaja itu ditahan kerana menceroboh kawasan larangan di klia2 Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, remaja itu ditahan pada 12.45 tengah hari selepas menceroboh masuk dalam kawasan Pintu Ketibaan Antarabangsa klia2.

“Pada hari kejadian, remaja itu secara meluru masuk ke dalam kawasan Pintu Ketibaan Antarabangsa klia2 tanpa mendapat kebenaran Bahagian Keselamatan klia2.

“Polis bantuan yang bertugas pada waktu itu cuba menghalangnya dan memberi arahan untuk keluar namun tidak diendahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, susulan itu anggota polis bantuan bersama rakan sejawatnya menahan remaja terbabit sebelum diserahkan kepada polis KLIA untuk tindakan lanjut.

Katanya, remaja itu direman sehingga hari ini dan akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Sebelum ini, keluarga remaja itu meminta bantuan rakyat Malaysia mencarinya selepas hilang tanpa dikesan sejak Isnin lalu.

Keluarga remaja itu memaklumkan mereka tidak dapat menghubunginya ketika Lucas bersama seorang lagi rakan senegaranya, Samantha Henry, 18, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke klia2 bagi menaiki penerbangan pulang ke AS.

Dua remaja itu dikatakan mengembara ke Malaysia selepas melawat Indonesia dan Thailand lebih sebulan.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 4:36pm
d