mutakhir

Dada robek ditikam rakan

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG buruh binaan warga Indonesia maut ditikam di dada dipercayai dibunuh rakan sekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Pisang, Batu Gajah, malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku antara 11 malam hingga 1.30 pagi membabitkan mangsa berusia 24 tahun berasal dari Madura, Indonesia menyebabkan lelaki terbabit mati serta merta di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pergaduhan antara buruh binaan dengan rakan sekerja di tapak pembinaan sebelum ditikam senjata tajam.

“Kejadian berlaku di tapak pembinaan projek pembangunan dan disyaki berlaku pergaduhan antara rakan sekerja di tapak pembinaan sebelum mangsa dibunuh.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan punca kematian akibat kesan tikaman senjata tajam di badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, rakan sekerja mangsa juga dipercayai warga Indonesia dan semua penghuni rumah kongsi di tapak pembinaan sudah melarikan diri ketika polis tiba di lokasi kejadian.

Ahmad Adnan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif atau punca sebenar kejadian termasuk mengesan senjata digunakan suspek.

“Polis juga masih menyiasat berapa ramai suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis kini sedang mengesan suspek dan orang ramai mempunyai maklumat diminta hubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, Asisten Superintendan Faizul atau Inspektor Farid di talian 05-362 9222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 5:35pm
d