mutakhir

Sudah ada tiga laluan khas haiwan

Oleh Baharom Bakar

JABATAN Kerja Raya (JKR) sudah membina tiga laluan khas haiwan liar di sepanjang laluan sepanjang 73 kilometer bermula dari Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu ke FELDA Aring, Gua Musang.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Terengganu Alif Zuwairi Baharuddin berkata, tiga laluan khas hidupan liar yang dibina di bawah jalan dan berbentuk terowong itu adalah di Seksyen 66, 70 serta 73.

Menurutnya, laluan khas hidupan liar itu dibina selepas JKR mendapat pandangan dan melakukan kajian bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS).

“Laluan khas itu dibina pada 2004 dan siap pada 2009 selepas kajian serta hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kebanyakan haiwan liar termasuk harimau serta gajah menggunakan laluan itu untuk melintas jalan.

“JKR daerah menafikan dakwaan bahawa kami mengabaikan laluan haiwan liar ketika melaksanakan projek pembinaan jalan dari Kuala Berang melalui Tasik Kenyir ke FELDA Aring membabitkan peruntukan sebanyak RM1.9 bilion itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alif Zuwairi berkata demikian bagi mengulas kejadian seekor gajah mati dilanggar sebuah treler membawa muatan bijih besi di Kilometer 44 Jalan Kuala Berang-Aring, Kuala Berang, malam Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, gajah betina yang dianggarkan berusia tujuh tahun dengan berat hampir tiga tan mati di tempat kejadian selepas terperosok di belakang treler yang ketika itu dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pelabuhan Kemaman.

Alif Zuwairi berkata, kejadian itu bukan berlaku di laluan khas haiwan melintas dan kumpulan gajah berkenaan dikatakan melintas jalan dari hutan untuk ke tebing Tasik Kenyir.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang berpotensi menjadi tempat haiwan melintas terutama pada waktu malam dan akan memasang lebih banyak papan tanda amaran sebagai panduan kepada pengguna laluan itu.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 5:38pm
d