mutakhir

Semoga pencarian tiga lelaki dipermudahkan

Oleh Rosli Ilham

SERAMAI 50 penduduk Kampung Pulau Serai, Dungun mengadakan solat hajat dan doa selamat, malam tadi susulan dua pemandu bot dan pekerja resort hilang ketika menaiki bot ke Pulau Tenggol, Rabu lalu.

Solat hajat diimamkan Ustaz Sufian Ismail itu dilakukan di pekarangan Jeti Kampung Rajawali Pulau Serai berakhir pada 10 malam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan ADUN Rantau Abang, Alias Harun. Selain di jeti terbabit, solat hajat dan doa selamat turut diadakan di semua masjid di kawasan Dungun selepas solat Jumaat, petang semalam.

Bapa mangsa, Abd Rahim Endut, 54, berkata dia berterima kasih kepada semua penduduk mengerjakan solat hajat memohon anaknya, Mohammad Hafiz Abd Rahim, 22, dan dua lagi mangsa, Fauzi Mohamad, 40, dan Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, segera ditemui.

“Saya sangat terharu dengan kesanggupan penduduk Dungun berdoa keselamatan anak saya dan dua lagi rakannya yang masih hilang di laut.

“Saya menerima kunjungan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli dan dua lagi ADUN yang datang memberikan sokongan dan semangat kepada kami semua waris keluarga mangsa,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak majikan anaknya itu yang sanggup menyediakan tempat penginapan termasuk makan minum kepadanya serta pasukan mencari dan menyelamat.

“Semoga jasa baik kalian semua mendapat pembalasan dan pahala daripada Yang Maha Esa.

“Saya tidak bersendirian di sini kerana semua pihak termasuk keluarga dua lagi mangsa yang sama-sama memberi semangat dan saling menyokong,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, bot pelancong dinaiki dua pemandu bot serta seorang pekerja resort tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, pada 12 tengah hari.

Mereka dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort terbabit.

Kehilangan ketiga-tiga mereka menyebabkan pihak pengurusan resort membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 4 petang.

Berita berkaitan

'Impikan hadiah hari jadi terindah'

''Kami tak buat begitu, malu betul...''

'Pencarian diperluaskan'

'Rahsiakan daripada ibu'

'Doakan anak saya selamat'

Jangan sebar maklumat palsu boh!

'Firasat saya, mereka masih hidup'

Pencarian sehingga 10 batu nautika

Tiga lelaki tak sampai-sampai...

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 12:07am
d