mutakhir

Patah kaki kiri paragliding terhempas

Oleh Rosli Ilham

LELAKI patah kaki kiri selepas paragliding dinaikinya terhempas apabila dibadai angin kencang di Pantai Teluk Lipat, Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa, Muhammad Jameri Ab Ghani, 38, yang berasal dari Kuala Lumpur dikejarkan ke Hospital Dungun selepas paragliding dinaiki terjatuh di atas batu benteng pemecah ombak.

Menurut sumber, kejadian sewaktu mangsa bersama beberapa rakannya sedang menguji paragliding di tepi pantai terbabit.

“Ketika melakukan penerbangan mangsa dipercayai gagal mengawal paragliding terbabit selepas dibadai angin kencang dan terhempas.

“Kejadian menyebabkan mangsa patah kaki kiri dan dibantu orang awam yang berada di lokasi sebelum memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Dungun, Kapten Ramlan Ros Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pada 7.09 malam.

Katanya, tiga anggota bersama satu unit ambulans dikerahkan ke lokasi bagi bantuan.

“Mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 12:11am
d