mutakhir

TH sedia 60,000 pek makanan

Oleh Yusri Abdul Malek

TABUNG Haji (TH) akan menyediakan 60,000 pek makanan kepada jemaah haji ketika ibadah masyair di Arafah dan Mina tahun ini sebagai satu usaha menambah baik perkhidmatan sajian makanan.

Berkonsepkan 'Makanan Sedia Dimakan', pek makanan disediakan itu boleh terus dimakan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian jemaah terbabit.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sebagai projek printis, pemberian pek makanan itu mudah dan senang diagihkan berbanding jika memasak di lokasi.

Beliau berkata, penyediaan pek makanan itu boleh mengelak daripada berlaku pembaziran kerana jemaah boleh mengambil makanan dan memakannya pada bila-bila masa.

“Sebagai projek perintis, 60,000 pek makanan akan disediakan pada malam 9 Zulhijjah dan 12 Zulhijjah manakala pada 13 Zulhijjah, kami menyediakan pek makanan tengah hari.

“Setakat ini, untuk menu makan malam pada 9 Zulhijjah ialah kari ayam manakala pada 12 Zulhijjah, menunya ayam tikka masala manakala pada makan tengah hari 13 Zulhijjah pula menunya masih belum ditetapkan dan sedang dibincangkan," katanya pada sidang media selepas melawat kilang TAJ Food: Ready To Eat Meal di kawasan perindustrian Jeddah di Makkah, hari ini.

Hadir sama, pengerusi syarikat berkenaan, Datuk Jameel Sulaiman Bondagji dan di kilang berkenaan terdapat lapan kakitangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Syed Saleh berkata, pek makanan itu mudah disediakan dengan merebusnya dalam air untuk tempoh 10 minit dan ia boleh terus dimakan.

“Makanan ini akan tahan dua jam selepas dibuka.

“Kami sudah melakukan uji rasa dan makanan itu sama seperti makanan biasa dan ia sesuai untuk jemaah haji kita," katanya.

Menurutnya, makanan itu boleh dikawal dari segi kualitinya.

Sementara itu, Jameel berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan TH dalam menyediakan makanan pek sedia dimakan untuk diagihkan kepada jemaah.

Beliau berkata, mereka berpengalaman dalam penyediaan sajian makanan dan khemah jemaah haji pakej di Arafah dan Mina sejak 2001.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 1:33am
d