mutakhir

Pendatang negara sendiri

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIGA beradik dari Kampung Pauh Setia di sini, hidup ibarat pendatang asing tanpa izin (Pati) berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri meskipun dilahirkan di negara ini.

Ng Yee Zhong, 10, Ng Yee Wei, 15 dan Ng Yee Cheang, 19, dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, namun pada sijil kelahiran mereka berstatus bukan warganegara.

Kemelut yang berlaku dikatakan berpunca daripada bapa mereka Ng Boon Heng, 55, berkahwin dengan warga Thailand, Saithong Kaewphukieo, 47, di negara itu 20 tahun lalu.

“Sejurus anak sulung lahir, baru saya dan isteri kemukakan permohonan mendaftar pernikahan di JPN, ketika itu baru saya mengetahui bahawa anak yang lahir sebelum pendaftaran pernikahan akan didaftarkan sebagai bukan warganegara.

“Malah lebih memburukkan keadaan pihak di Thailand juga tidak dapat memberikan kerjasama sehingga anak kedua dan bongsu juga tidak boleh menikmati kehidupan sebagai warganegara meskipun mereka dilahirkan di sini.

“Segala urusan rasmi mereka perlu didaftarkan mengikut status bukan warganegara termasuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Menurut Boon Heng, dia sudah berusaha menyelesaikan masalah itu hingga pernah ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab menjanjikan pemberian MyKad kepada tiga anaknya itu.

“Individu terbabit membawa saya ke Kuala Lumpur kononnya ingin memperkenalkan saya kepada seseorang yang boleh membantu.

“Saya juga sudah memberikannya sejumlah wang namun sehingga ke hari ini masih tiada sebarang maklumat mengenai MyKad tiga anak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis, Mohd Nasharudin Md Yusof berkata, pihaknya sudah menerima permohonan MyKad daripada keluarga berkenaan sebelum ini pada 2009.

“Bagaimanapun keputusan pemberian MyKad adalah tertakluk di bawah keputusan Kementerian Dalam Negeri dan difahamkan proses permohonan di peringkat JPN negeri dan ibu pejabat sudah selesai,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 5:00am
d