mutakhir

Pekerja cekap selamatkan pelanggan

Oleh Recqueal Raimi

TINDAKAN pantas pekerja kedai alat serbaneka membunyikan penggera kecemasan sebaik kebakaran, berjaya menyelamatkan orang ramai daripada terperangkap di dalam premis itu di pekan Telipok, Kota Kinabalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, premis itu musnah 90 peratus namun, tiada pekerja atau orang awam cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 5.20 petang dan 12 anggota termasuk pasukan BBP Lintas bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, pemeriksaan segera dilakukan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap dan operasi pemadaman dibuat.

“Pasukan mengambil masa hampir sejam untuk mengawal api daripada merebak ke premis bersebelahan dan tingkat atas bangunan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum itu, Abdul Qawie berkata, orang awam yang berada di dalam premis sempat menyelamatkan diri sebaik penggera kecemasan dibunyikan pekerja kedai itu.

Katanya, operasi ditamatkan pada 7.26 malam dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 9:33am
d