mutakhir

Buang lagi, kan dah kena...

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot tunda dan ‘barge’ (tongkang) yang dipercayai melepaskan sisa buangan kira-kira 0.7 batu nautika Tenggara Tanjung Kling, Melaka semalam.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, penahanan 1.40 tengah hari itu susulan aduan diterima daripada penduduk 10.15 pagi semalam mengenai aktiviti terlarang itu.

“Sebaik menerima maklumat, aset APMM bergerak ke lokasi dan pemeriksaan mendapati bot tunda MCL EXPRESS II dan ‘barge’ MCL PERTIWI disyaki menjalankan aktiviti melepaskan bahan buangan jenis petroleum coke (petcoke).

“Bot itu ditahan 1.40 tengah hari dan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, tangkapan itu adalah yang pertama oleh APMM Melaka dan Negeri Sembilan tahun ini dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana menjejaskan ekosistem laut.

“Kami akan terus menggiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Orang yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam sehari.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan sekumpulan nelayan di Kampung Tanjung Kling, Melaka gusar selepas mereka mendakwa berlakunya pencemaran sisa arang batu dipercayai dibuang daripada sebuah kapal sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, kapal arang batu berkenaan dipercayai dari negara jiran dan berlabuh di perairan berhampiran Pengkalan Nelayan Kampung Tanjung Kling sebelum menurunkan muatan di Pelabuhan Tanjung Beruas untuk dibawa ke Negeri Sembilan.

Perkara itu berlarutan sudah lama namun nelayan tiada bukti kukuh sehingga semalam apabila terserempak dengan kapal muatan api berkenaan.

Susulan itu, Exco Pertanian Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani negeri Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Laut dan APMM menyiasat dakwaan itu.

Berita berkaitan

Arang batu cemar perairan pantai [METROTV]

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 2:25pm
d