mutakhir

Masalah kipas dipercayai punca

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

HELIKOPTER Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan pendaratan cemas dalam kawasan Kem Gubir, Sik, Kedah, semalam dipercayai mengalami masalah mekanikal kipas.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, rotor kipas pada helikopter Nuri itu dipercayai tidak dapat mengekalkan kelajuannya sekali gus menyebabkan ia kekurangan tenaga untuk terbang lebih tinggi.

“Kita belum dapat kenal pasti lagi punca kejadian tetapi berdasarkan keterangan juruterbang ia berkemungkinan disebabkan masalah mekanikal bermakna pesawat itu atau ‘rotor blade’ tidak dapat kekalkan kelajuan, ini akan menyebabkan pesawat kekurangan tenaga untuk naik (terbang).

“Buat masa ini itu yang kita perolehi, bagaimanapun kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan akan dapat maklumat lebih terperinci,” katanya.

Beliau ditemui selepas Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan sebuah helikopter TUDM melakukan pendaratan cemas dalam kawasan Kem Gubir, Sik, Kedah, pada 3 petang.

Pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth ketika itu melakukan penerbangan dengan membawa empat anak kapal dan 11 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk misi ulang bekal.

Bagaimanapun, semua anak kapal termasuk penumpang helikopter selamat dan hanya cedera.

Affendi berkata, operasi pesawat Nuri digantung sementara bagi meneliti punca sebenar kejadian.

“Kita gantung sementara waktu sebab untuk teliti dan lihat punca kejadian dan pada masa sama apa-apa keputusan akan dibuat selepas Lembaga Penyiasatan membuat rumusan dan keputusan,” katanya.

Menurut Affendi, sehingga kini, TUDM masih mempunyai lapan helikopter Nuri yang diperoleh sejak 1970-an yang beroperasi di Skuadron Kuching, Sarawak dan Butterworth, Pulau Pinang.

Berita berkaitan

Patutlah terbang rendah - Penduduk

Helikopter TUDM mendarat cemas [METROTV]

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 5:21pm
d