mutakhir

Barang elektrik, kenderaan kena kebas

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEMILIK kedai barangan elektrik kerugian lebih RM38,000 selepas 20 unit barangan elektrik dan sebuah pacuan empat roda miliknya dilarikan dalam rompakan di Kompleks Perniagaan Chin Hin, Arau semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai berhubung kejadian itu pada 8.45 pagi.

“Pekerja premis itu yang mahu memulakan perniagaan pagi semalam mendapati kedai itu dipecah masuk berikutan terdapat kesan pecah pada kunci dan mangga pintu.

“Pekerjanya memeriksa kedai terbabit sebelum mendapati perompak itu melarikan lima unit televisyen pelbagai jenama, empat unit periuk nasi, empat unit kipas lantai dan masing-masing seunit bagi pengisar elektrik, ketuhar pemanas, mesin basuh, kipas siling serta alat pengering rambut.

“Malah kereta pacuan empat roda yang diletakkan di hadapan kedai untuk kegunaan pekerja kedai itu turut dilarikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nanda, rakaman kamera litar tertutup merakam kelibat seorang suspek yang cuba memecah masuk kedai itu.

“Bagaimanapun dia bertindak mencabut suis utama bagi mematikan kuasa elektrik agar memudahkannya melakukan rompakan berkenaan.

“Anggaran kerugian bagi perkakas elektrik RM13,000 manakala pacuan empat roda itu RM25,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan atas kesalahan memecah masuk dan mencuri.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 5:45pm
d