mutakhir

Kanak-kanak lemas terjatuh Sungai Padas

Oleh Norasikin Daineh

KANAK-kanak lelaki lemas selepas terjatuh di Sungai Padas di Kampung Bangkalak, Beaufort hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Ivan Firdaus Moktar, 12, dikatakan pergi ke sungai bersama adik dan bapanya untuk mengepam air di sungai berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan bapanya pulang ke rumah sekejap dan selepas kembali semula, didapati mangsa sudah jatuh di sungai itu.

Berikutan kejadian itu, laporan dibuat kepada bomba dan polis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.51 pagi.

“Sembilan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikejar ke lokasi.

“Pasukan bomba melakukan usaha mencari dan menyelamat mangsa di sekitar tebing sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasbullah berkata, pada 11.57 pagi, mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira 50 meter dari lokasi akhir mangsa dilihat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi dan diserahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 12.55 tengah hari,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 6:44pm
d