mutakhir

Lelaki meninggal dunia akibat sawan

Oleh Hasbi Sidek

LELAKI maut dipercayai diserang sawan ketika mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh ke longkang selepas bergelut dengan abangnya kerana tidak berpuas hati mengenai pembahagian harta pusaka.

Dalam kejadian 11 pagi di Kampung Bagan Pinang, Batu 3, Jalan Pantai, Port Dickson, lelaki berusia 50-an itu dikatakan ke rumah abangnya dalam keadaan marah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa turun ke longkang untuk mengambil telefon bimbitnya sebelum tidak sedarkan diri dan dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Berdasarkan siasatan, lelaki itu ke rumah abangnya dalam keadaan marah kerana tidak berpuas hati mengenai pembahagian lot tanah pusaka yang masih dalam perbicaraan.

“Kemudian berlaku pergelutan antara kedua-dua beradik itu di jalan utama kampung itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pergaduhan kemudiannya dileraikan ahli keluarga lima minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mendapati telefon bimbitnya terjatuh ke dalam longkang berhampiran sebelum turun mengambil alat telekomunikasi itu.

“Dia kemudiannya terduduk di paip berhampiran longkang dan terus tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD).

“Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan doktor mengesahkan lelaki itu meninggal dunia kerana diserang sawan.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 7:03pm
d