mutakhir

Setuju berdamai selepas gaduh di masjid [METROTV]

Oleh Norasikin Daineh dan Hazsyah Abdul Rahman

POLIS sudah mengambil keterangan kedua-dua pihak yang terbabit dalam pergaduhan termasuk aksi tumbuk-menumbuk di masjid di Kampung Tinusa, Batu 7, Sandakan, semalam, sehingga tular di laman sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada lelaki berusia 56 tahun yang juga bendahari masjid berkenaan.

“Kejadian berlaku pada 12.10 tengah hari ketika pengadu sedang membentangkan status kewangan terkini masjid itu kepada jemaah.

“Ketika membentangkan status kewangan masjid, seorang jemaah tidak berpuas hati dan mendakwa berlaku ketirisan pengurusan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan media di Sandakan, hari ini.

Mohd Hazmin berkata, ekoran daripada itu, berlaku pertengkaran mulut sehingga tercetus tumbuk-menumbuk membabitkan pengadu dan jemaah itu.

“Pergaduhan antara mereka berjaya dileraikan oleh jemaah masjid yang lain dan pengadu datang ke balai polis untuk membuat laporan.

“Keterangan kedua-dua pihak juga sudah diambil oleh polis.

“Bagaimanapun,kedua-dua individu terbabit bersetuju untuk berdamai dan rujuk perkara berkaitan masalah kewangan masjid kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan untuk penyelesaian yang lebih harmoni,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook video berdurasi empat minit 22 saat memaparkan pergaduhan antara dua pihak sebelum dileraikan oleh jemaah masjid berkenaan.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 7:40pm
d