mutakhir

Politik sebabkan umat Islam berpecah

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PERPECAHAN yang berlaku dalam politik menjadi punca golongan Melayu dan umat Islam di negara ini lemah dan tidak bersatu padu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun semua mereka berpegang kepada satu mazhab iaitu Imam Syafie yang membawa tafsiran Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ), ia tidak diterjemahkan di dalam politik.

“Selama beratus tahun, fahaman Islam kita sama iaitu ASWJ tapi bila kita berpolitik maka berlakulah tuduhan bahawa ada orang itu Islam, orang ini bukan Islam dan sekarang ini kita berpecah.

“Walaupun satu agama, satu fahaman tapi kita berpecah sehingga menjadi satu perkara serius yang menyebabkan kita menjadi lemah, sehingga pecah enam. Tak ada lagi majoriti daripada segi orang Melayu dalam politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Program Townhall Semarak Merdeka Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihadiri kira-kira 2,000 jemputan di Hotel Hatten, Banda Hilir, Melaka hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, selain dari sudut politik, corak hidup sesetengah Melayu juga tidak mengikut ajaran Islam.

“Kita tidak bekerja kuat, tidak adil dan ada kalanya kita berperang sesama kita. Membunuh itu dilarang dalam Islam terutama membunuh orang Islam tapi itupun kita tak ikut.

“Banyak lagi ajaran Islam dalam Al-Quran kita tidak ikut oleh kerana itu kita ketinggalan dalam bermacam-macam bidang termasuk bidang ekonomi,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 8:43pm
d