mutakhir

'Mungkin maklumat dadah'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

ANAK Timbalan Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Datuk Kamarudin Abdullah tidak menolak kemungkinan insiden dua lelaki menyerang ayahnya di hadapan sebuah kedai kopi ada kaitan kes dadah.

Kejadian jam 7.30 malam Ahad lalu, Kamarudin, 67, cedera di kepala, pinggang dan belakang badan selepas ditetak serta dikelar dengan senjata tajam oleh dua lelaki bermotosikal sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, untuk rawatan.

Anak mangsa, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno berkata, ini berikutan kerana ayahnya sebelum ini banyak memberi maklumat berkaitan kes dadah kepada polis.

Katanya, dia menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan bagi mengenal pasti motif dan menangkap pelaku secepat mungkin.

“Saya risau dengan keselamatan ayah yang sudah keluar daripada hospital sejak dua hari lalu.

“Jika dalam politik, ayah tiada musuh dengan sesiapa dan apa merisaukan saya mungkin motif dua lelaki itu menyerang ayah disebabkan kes dadah kerana ayah sebelum ini banyak memberi maklumat berkaitan kes itu kepada polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, dia percaya dua lelaki itu hanya sekadar upahan oleh individu tertentu memandangkan cara mereka menyerang seperti tidak profesional apabila ayahnya dapat bangun walaupun diserang dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dua lelaki yang menyerang mangsa.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 6:31am
d