mutakhir

Lapan anggota polis terhidu gas sodium sianida

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

LAPAN anggota polis mengadu tidak sihat dipercayai terhidu gas bahan kimia sodium sianida yang dibuang di kawasan ladang kelapa sawit di Karak, Bentong pada 1 Ogos lalu.

Semua anggota polis berkenaan ditugaskan melakukan siasatan berikutan menerima aduan penemuan 15 tong hitam mengandungi bahan kimia itu oleh penduduk setempat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat anggota polis dikejarkan ke Hospital Bentong manakala selebihnya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Karak.

“Keadaan anggota polis yang menerima rawatan di Hospital Bentong dilaporkan stabil dan mereka ditempatkan di wad biasa.

“Buat masa ini kita masih memantau keadaan mereka untuk melihat simpton yang dialami. Kebiasaannya mereka yang terdedah dengan bahan kimia itu akan berasa loya dan muntah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Temerloh di Kampung Padang Lalang, Temerloh, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya bagaimanapun masih mendapatkan maklumat berhubung perkara itu daripada agensi lain kerana tidak semua perkara berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Media semalam melaporkan kewujudan 15 tong hitam dipercayai mengandungi sodium sianida di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar dan anggota Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sudah dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengambil sampel untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Sementara itu, mengulas perkara lain, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan menurunkan had umur penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membolehkan lebih ramai masyarakat mendapatkan pemeriksaan saringan kesihatan.

Katanya, kementerian sebelum ini menetapkan had umur penerima 50 tahun ke atas pada pelancarannya pada April lalu.

“Dalam Mesyuarat Pasca Kabinet minggu lalu kita memutuskan untuk menurunkan had umur kepada 40 tahun dan ia akan memberi impak berganda kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan dan pencegahan lebih awal.

“Kementerian menerima peruntukan sebanyak RM100 juta untuk program perintis itu dengan mensasarkan seramai 800,000 orang. Setakat ini seramai 44,000 orang sudah menjalani pemeriksaan saringan itu di 1,281 klinik swasta dan 844 klinik kerajaan,” katanya.

Berita berkaitan

Siapa pemilik tong hitam di Karak?

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 12:37pm
d