mutakhir

Air mata tanda terima kasih

Oleh Nur Saliawati Salberi

WARGA emas yang terlantar akibat sakit tua hanya mampu mengalirkan air mata sebagai tanda terima kasih kepada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas menerima kad pengenalan gantian, yang diserahkan di rumahnya di Kampung Cheng, Melaka, hari ini.

Kad pengenalan gantian itu diterima Husain Maamin, 85, bagi menggantikan dokumen miliknya yang sudah tidak dapat digunakan.

Anaknya, Awa Husain, 59, berkata, disebabkan kad pengenalan bapanya itu sudah rosak dan cip juga tidak dapat digunakan mereka berdepan masalah apabila perlu menguruskan hal yang memerlukan penggunaan dokumen berkenaan.

Katanya, mereka adik-beradik juga berdepan kesukaran untuk membawa bapanya ke pejabat JPN disebabkan faktor kesihatan yang tidak dapat bangun.

“Tidak mahu masalah ini terus berlarutan, adik kemudian pergi ke pejabat JPN dan membuat laporan sebelum pegawainya datang ke rumah pada Julai lalu.

“Disebabkan kad pengenalan bapa tidak dapat digunakan, sudah tiga tahun Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sebelum ini dikenali Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak dapat dituntut,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah JPN Datuk Ruslin Jusoh bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jasri Kassim.

Menurutnya, dia dan keluarga tidak menyangka kad pengenalan gantian bapanya itu akan diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN, selain berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana memudahkan urusan pengantian terbabit.

Sementara itu, Ruslin berkata, Program Mobile Ihsan itu adalah untuk membantu penduduk yang mengalami kesukaran dalam berurusan dengan pihak JPN.

Beliau berkata, melalui program berkenaan, tiga kategori individu ditawarkan perkhidmatan itu, mereka adalah warga emas terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan warganegara yang tinggal di luar kawasan akses.

“Kumpulan Mobile Ihsan akan mendekati kategori ini untuk melakukan gantian kad pengenalan.

“Selain itu, kita juga membantu mereka untuk mendaftarkan kelahiran atau kematian atas beberapa faktor termasuk jarak dan kekurangan sistem perhubungan,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 4:47pm
d