mutakhir

'Usah hanya membantah' - Mujahid

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SEMUA pihak dinasihatkan tidak mempolitikkan isu penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana kerajaan lebih mengetahui apa yang ingin dilaksanakannya.

“Sepatutnya, isu itu (tulisan jawi dan seni khat) perlu dilihat secara positif dan diberikan idea. Bukan hanya membantah atau membangkang semata-mata.

“Malangnya, mereka menjadikan isu itu sebagai modal politik dan kemudian dikaitkan dengan Melayu serta Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Dialog Rahmatan Lil Alamin Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan Komuniti di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, malam tadi.

Mujahid berkata, isu penggunaan tulisan jawi itu di bawah bidang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ia pernah cuba dihapuskan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan kini untuk mengembalikan semula tulisan jawi menerusi pelbagai inisiatif dan program.

“Malah, kerajaan hari ini berusaha menghidupkan semula tulisan jawi sebagai satu warisan budaya memandangkan sebahagian generasi muda tidak pandai menulis dan mengenali huruf jawi.

“Saya melihat dari segi perspektif sejarah dan difahamkan di sekolah pun tulisan jawi bukan wajib kerana ia subjek pilihan dan diambil ketika waktu tambahan,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 6:10pm
d