mutakhir

14 tahun jadi hamba seks

Oleh Fardy Bungga

WANITA berusia 27 tahun di Lahad Datu nekad membuat laporan polis selepas 14 tahun menjadi pemuas nafsu kepada bapa angkatnya.

Wanita terbabit mendakwa tinggal bersama lelaki berkenaan sejak tahun 2004 di tiga kawasan setinggan berasingan sekitar daerah itu, selepas ibu bapanya bercerai.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, siasatan awal mendapati kali terakhir mangsa dirogol, Disember tahun lalu.

Katanya, sepanjang tinggal bersama suspek, mangsa tidak dibenarkan memberitahu perkara itu kepada sesiapa termasuk diugut bunuh seluruh keluarganya sekiranya kejadian itu diketahui.

“Selepas 14 tahun, mangsa akhirnya tidak tahan dengan perbuatan suspek dan datang sendiri membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Kejadian pertama dilaporkan berlaku ketika mangsa berusia 12 tahun pada tahun 2004 iaitu selepas ibu bapa mangsa bercerai.

“Mangsa dan dua adiknya diserahkan kepada suspek untuk dijaga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, mangsa sudah dirujuk di Hospital Lahad Datu dan pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat koyakan pada kemaluan mangsa.

Katanya, polis kini sedang giat menjalankan operasi memburu suspek.

“Polis mohon bantuan orang awam untuk memberikan maklumat sehingga suspek dapat ditangkap.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 6:22pm
d