mutakhir

Remaja maut dipercayai dipukul

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG remaja lelaki disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta awal pagi semalam, selepas dipercayai dipukul di Taman Silibin Ria, Ipoh.

K K Selvaraja, 18, dibawa ke hospital berkenaan oleh bapa saudaranya sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.55 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mojhd Ali Tamby berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada seorang doktor hospital swasta berkenaan pada 6 pagi semalam.

“Doktor terbabit memaklumkan ada kematian seorang lelaki yang dibawa dari rumah Taman Silibin Ria ke hospital serta dimaklumkan bahawa mangsa dipercayai dipukul.

“Kematian mangsa disahkan oleh doktor itu dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati remaja terbabit dan abangnya tinggal bersama bapa saudaranya hampir enam tahun selepas ibu dan bapa mereka meninggal dunia.

“Mangsa dan abangnya yang dikenali sebagai Jeevan tinggal dalam satu bilik bersama dengan abang tiri mereka, Gunaseelan.

“Hasil temu bual, abang mangsa mengatakan mangsa keluar rumah pada 11 malam Jumaat lalu dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 untuk membeli makanan sebelum pulang pada 2 pagi.

“Pada lebih kurang 4 pagi mangsa mengejutkan abangnya itu dan mengadu sakit dada serta sesak nafas,” katanya.

Mohd Ali berkata, abang mangsa kemudian mengejutkan bapa saudaranya dan membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Falim tetapi dimaklumkan perlu merujuk mangsa ke hospital sebelum membawanya ke hospital swasta berkenaan.

“Hasil bedah siasat yang dibuat hari ini mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan tisu lembut akibat trauma tumpul pada bahagian kedua-dua tangan dan kaki serta kepala mangsa.

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti punca dan tempat kejadian sebenar serta suspek yang terbabit dalam kes berkenaan yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 7:11pm
d